Karier Solo Ameng_Spring

Setelah anggota Spring membawa haluan masing-masing, Ameng telah mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, tetapi masih di bawah naungan yang sama iaitu Sony Music. Ameng telah diberi peluang untuk merakamkan album solo pertama beliau yang berjudul Langkah Semakin Jauh. Walaupun telah bergelar penyanyi solo, Ameng masih diminati ramai kerana personalitinya yang menarik dan kualiti suaranya yang masih kekal utuh tanpa sebarang cacat cela.

Langkah Semakin Jauh

Album solo pertama Ameng ini telah diberi judul Langkah Semakin Jauh, sealiran dengan sebuah lagu yang dimuatkan di dalam album ini. Lagu ini telah dicipta oleh penggubah popular iaitu Zul Mahat, manakala liriknya ditulis oleh Amran Omar. Langkah Semakin Jauh turut akan dijadikan sebagai lagu single pertama bagi album ini. Penyusunan muzik serta irama yang diketengahkan di dalam lagu ini amat menarik sekali, ia banyak mengandungi elemen-elemen serta gubahan melodi baru yang boleh dinikmati untuk lagu tersebut. Tambahan pula, lirik serta vokal Ameng yang tetap utuh serta memiliki intonasi yang menarik menjadikan lagu Langkah Semakin Jauh amat menarik sekali.

Konsep album beliau yang sulung ini adalah berkonsepkan pop kontempori. Proses rakaman serta pembikinan album ini telah memakan masa selama enam bulan. Album ini akan mula berada di pasaran pada awal bulan Mei 2003 ini. Album solo Ameng yang sulung ini merupakan titik-tolak kepada pembaharuan irama, lirik serta melodi yang beliau bawa. Ini kerana setelah hampir sedekad beliau menyampaikan lagu-lagu berirama pop yang jiwang, kali ini album solo beliau menampilkan kepelbagaian irama seperti irama Arab, Latin , Parsi dan banyak lagi. Akan tetapi irama pop asli tidak ditinggalkan, malah kesemua lagu-lagu di dalam album ini telah digubah dengan begitu baik sekali. Terdapat banyak irama serta melodi baru yang boleh dinikmati. Jelas sekali album ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

Di dalam album ini, Ameng turut menyumbangkan sebuah lagu hasil ciptaannya yang berjudul Salam Air Mata, manakala liriknya ditulis oleh Juwie. Lagu ini amat bermakna bagi Ameng kerana ia merupakan salah satu kisah hidup beliau yang pernah beliau lalui. Penulis-penulis lirik yang terlibat di dalam album ini tidak kurang hebatnya. Antara penyumbang lirik untuk album Langkah Semakin Jauh ini ialah Juwie, Hairul Anuar Harun, Amran Omar, S. Amin Shahab, Loloq (Rosli Khamis), Rasdey & Mat Joe.

Walaupun baru pertama kali Ameng merakamkan album secara solo, namun beliau tidak merasakan kesukaran atau kekok bekerjasama dengan penggubah-penggubah yang terbabit. Ini kerana Ameng yang telah berkecimpung di dalam dunia nyanyian telah biasa bekerjasama dengan mereka sejak bersama Spring lagi.